Bekas tonggak antarabangsa Brazil, Walter Casagrande, menyelar bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, sambil merujuknya sebagai "raksasa" dalam pembikinan.

Neymar gagal memberi PSG inspirasi yang menyaksikan gergasi Ligue 1 itu tersungkur 3-1 kepada Real Madrid dalam pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), semalam.

Casagrande, yang menyarung jersi Brazil sebanyak 19 kali, membidas pemain berusia 26 tahun itu dan menolak untuk membandingkannya dengan pemain Barcelona, ​​Lionel Messi, dan bintang Madrid, Cristiano Ronaldo.

"Ia mengganggu saya apabila kebanyakan peminat dan media masih menyokong Neymar," katanya kepada SporTV.

"Dia telah menunjukkan beberapa kelakuan yang tidak sesuai. Ketika menentang Real, dia mengutip kad kuning pada babak pertama dan boleh dibuang padang pada separuh masa kedua.

"Ia akan menjadi bencana jika dia bertindak seperti itu dalam Piala Dunia. Kami mencipta raksasa, ada yang menganggapnya genius.

"Neymar tidak mempunyai kualiti seperti Messi, (Diego) Maradona atau Cristiano Ronaldo yang boleh memenangi perlawanan pada bila-bila masa," tambahnya.

Sementara itu, bapa Neymar menempelak kritikan terhadap anaknya itu di Instagram.

Disertai dengan imej Neymar, ayahnya memberi kenyataan: "Dalam 'peperangan', akan selalu ada orang yang berjuang untuk kemenangan dan orang yang seperti burung hering yang memakan bangkai orang yang dikalahkan. Mereka hanya mengambil kesempatan semasa berjaya atau tempoh yang paling sukar.

"Kami tahu ramai orang dalam dunia bola sepak yang mempunyai tingkah laku seperti burung hering yang tanpa pencapaian sendiri lalu membuat kenyataan semata-mata untuk melepaskan kekecewaan sendiri.

"Mereka menikmati kekalahan, menanti kekalahan demi ego mereka sendiri sebagai burung pemakan bangkai.

"Mereka gagal berbuat demikian dalam Sukan Olimpik Rio tetapi masih berdiri di sana, menunggu peluang pertama mereka untuk membawa petanda buruk mereka.

"Tetapi ingatlah, kami tewas dalam peperangan, bukan perjuangan. Anak saya sentiasa menghadapi peperangan ini, menghasilkan permainan yang baik, mengelak burung hering dan setiap kali turun lebih mantap!! Sepanjang masa, dia menghormati orang di sekelilingnya, bahkan si burung pemakan bangkai.

"Kami tewas dalam pertempuran. Seperti perang yang kita lihat, ia akan berterusan selama dia berada di atas padang.

"Percayalah, dia akan dilahirkan semula bagaikan burung phoenix untuk menghadapi lebih banyak pertempuran. Kepada si burung hering, anda akan dibiarkan kelaparan dan tidak akan ada apa-apa lagi selain menelan kata-kata anda yang busuk seperti bangkai. "