BARCELONA 2 REAL MADRID 2

Barcelona meneruskan catatan rekod tanpa kalah bagi saingan LaLiga musim ini, sambil Gareth Bale menyelamatkan maruah Real Madrid dengan gol penyamaan sewaktu kedua-dua pasukan meraih keputusan seri 2-2 di Camp Nou, awal pagi tadi.


Biarpun telah mengesahkan kejuaraan liga sewaktu menundukkan Deportivo La Coruna pada minggu lalu, ternyata skuad kendalian Ernesto Valverde itu masih mempunyai tugasan besar, iaitu pertemuan El Clasico.

Madrid, yang merupakan finalis Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut, walaupun mengharungi kempen liga yang agak mengecewakan pada musim 2017/18, namun kemenangan ke atas seteru utama mereka itu pastinya memberikan kepuasan jika ia terlaksana.

Bagaimanapun, hasrat anak-anak buah Zinedine Zidane itu dikejutkan dengan gol pembukaan tuan rumah seawal minit ke-10.

Sergi Roberto memulakan pergerakan dari sebelah kanan sebelum melakukan hantaran lintang buat Luis Suarez yang tidak berdepan masalah untuk menyudahkannya menewaskan Keylor Navas bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Bagaimanapun, pendahuluan itu hanya bertahan selama empat minit apabila Los Blancos menyamakan kedudukan menerusi bintang utama, Cristiano Ronaldo.

Dalam satu serangan balas, hantaran lintang Toni Kroos buat Karim Benzema pantas dilorongkan kepada kapten Portugal itu untuk melepaskan rembatan dari jarak dekat mengatasi Marc-Andre Ter Stegen.

Tuan rumah berdepan tamparan hebat susulan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Roberto didapati menumbuk muka Marcelo, yang memaksa pengadil, Alejandro Hernandez, melayangkan kad merah serta-merta pada minit terakhir separuh masa pertama.

Bersambung dalam babak kedua, kekurangan seorang pemain jelas tidak memberi masalah buat Barca apabila hanya memerlukan tujuh minit untuk kembali berada di depan.

Kali ini, gol itu dijelmakan oleh Lionel Messi yang menerima hantaran Suarez sebelum melepaskan bola sepakan kaki kiri yang menerjah jaring melepasi jangkauan Navas.

Aksi sengit di Camp Nou terus rancak apabila tonggak utama skuad kebangsaan Wales, Bale, kembali mengikat kedudukan buat pelawat pada minit ke-72.

Gerakan bijak Marco Asensio yang melorongkan bola buat bekas pemain Tottenham Hotspur itu membolehkan Bale melepaskan sepakan lencong yang gagal disekat Ter Stegen untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan, menyaksikan Barca masih kekal tanpa kalah setelah mengharungi 35 perlawanan musim ini sementara Madrid kini di tangga ketiga dengan 72 mata, tiga mata di belakang Atletico Madrid yang berada di tangga kedua tetapi memiliki kelebihan satu perlawanan.