Gareth Bale hampir menyertai Cardiff City tetapi tawaran daripada Los Angeles FC nyata terlalu menarik untuk ditolak, menurut pemilik The Bluebirds, Vincent Tan.

Bintang antarabangsa Wales itu mengesahkan dalam video yang disiarkan di media sosial kelmarin bahawa dia akan menyertai pasukan MLS berkenaan sebaik kontraknya di Real Madrid tamat minggu ini.

Pemain berusia 32 tahun itu juga telah dikaitkan dengan Getafe yang berpangkalan di Madrid tetapi ia ditolak mentah-mentah termasuk bekas pasukan, Tottenham.

Bale dilaporkan telah mengadakan perbincangan dengan pengurus Cardiff, Steve Morison, dalam lawatannya ke pangkalan latihan kelab itu baru-baru ini ketika bersama pasukan kebangsaan.

Pemilik Cardiff itu kemudian mengesahkan hasrat untuk memancing penyerang tersebut tetapi tidak dapat menyamai tawaran daripada Los Angeles biarpun wang bukanlah pendorong utama.

"Kami sangat berminat dan sudah tentu ia akan menjadi perpindahan besar buat kami dan pastinya bagus untuk Gareth Bale sendiri beraksi di kampung halamannya," kata Vincent kepada talkSPORT.





"Kami sudah cuba yang terbaik tetapi gagal. Semua orang akan gembira seandainya Gareth Bale pulang ke kampung halaman dan beraksi di Cardiff, tetapi malangnya tawaran itu terlalu menarik untuk ditolak.

“Dia pada asalnya mahu datang, ia bukan soal wang. Kami masih cuba berikan tawaran yang menarik buatnya.

"Tetapi kami akhirnya terpaksa bersaing apabila terdapat banyak pengiklan besar Amerika Syarikat yang campur tangan.

"Tawaran komersial di sana sangat bagus, perjanjian komersial itu sangat menarik bagi Gareth Bale."