Ketua pasukan Sabah FC, Baddrol Bakhtiar, mengakui janggal apabila bertandang ke Alor Setar sebagai pemain lawan dalam aksi pertemuan Liga Super malam ini.

Kehadiran tonggak tengah berpengalaman itu pastinya akan menarik perhatian penyokong setia Hijau Kuning.

Untuk rekod, Baddrol menabur bakti bersama Kedah selama 16 tahun sejak era kejurulatihan Azraai Khor Abdullah sebelum mengambil keputusan berhijrah ke negeri di bawah bayu musim ini.

"Perasaan saya sukar digambarkan. Saya mengharapkan kedua-dua pasukan akan memberikan yang terbaik," kata Baddrol menerusi Nadi Arena.

"Kami sebagai pasukan hadir ke sini dengan memastikan mutu permainan pasukan dijadikan sebagai keutamaan."

Dalam perkembangan berbeza, penjaga gol Kedah Darul Aman FC, Ifwat Akmal Chek Kassim, mengakui tugas berat menantinya apabila berdepan jentera serangan Sabah yang dilihat ampuh dengan 25 gol selepas 15 perlawanan.

Ifwat bagaimanapun tetap akan berusaha sehabis baik bagi memastikan kedah mampu untuk bangkit sekaligus raih kemenangan keenam liga musim ini.

"Sabah memiliki momentum yang baik namun kami memiliki objektif tersendiri dalam perlawanan ini. Kami enggan terlalu menghormati dan memastikan menampilkan perlawanan yang terbaik bagi memastikan kemenangan buat Kedah."