Serge Aurier menyertai pasukan LaLiga, Villarreal, selepas meninggalkan Tottenham pada penghujung jendela perpindahan bulan lalu.

Pertahanan sayap itu meninggalkan Spurs selepas menamatkan kontraknya secara persetujuan bersama.

Aurier akan meneruskan kariernya di Sepanyol selepas menyertai penyandang juara Liga Europa itu dengan kontrak sehingga hujung musim ini berserta pilihan untuk terus bersama kelab itu bagi dua musim berikutnya.

Kapten Ivory Coast berusia 28 tahun itu melakukan 110 penampilan dan menjaringkan lapan gol buat Tottenham selepas tiba daripada Paris Saint-Germain (PSG) pada 2017.

Aurier membantu kelab London itu layak ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 2019 dan final Piala EFL dua tahun kemudian.

Dia juga berpengalaman luas di peringkat antarabangsa dengan 70 penampilan buat negaranya setakat ini.

Villarreal, yang masih belum pernah tewas musim ini, berada di tangga ke-11 LaLiga dengan rekod dua kemenangan dan lima keputusan seri daripada tujuh perlawanan pertama.