Kapten skuad bola sepak Sukan Universti ASEAN (AUG) negara, Aliff Najmi, mahu memanfaatkan pengalamannya sepanjang kempen temasya itu untuk membantu Kelantan United FC musim ini.

Dalam saingan di Ubon Ratchathani itu, skuad negara tewas 1-2 kepada Thailand dalam aksi final, sekali gus muncul pemenang pingat perak pada Jumaat lalu.

Aliff berasakan dia telah mendapat satu pengalaman berharga dalam kejohanan itu dan berharap dapat memanfaatkannya bersama Kelantan United bagi menghadapi saingan Liga Perdana.

Dia berkata kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz: "Pasukan kami sudah memberikan 100 peratus sepanjang aksi final.

"Kebanyakan pemain dalam pasukan ini tampil buat kali pertama dalam saingan AUG.

"Sebagai kapten dan sebagai pemain, saya amat berpuas hati dengan penampilan kami.

"Kawan-kawan saya telah memberikan sumbangan yang amat bagus buat pasukan ini.

"Kami sudah mencuba untuk bangkit dalam babak kedua tetapi nasib tidak menyebelahi kami.

"Sebenarnya, banyak yang saya pelajari di sini untuk menambah pengetahuan, kemahiran dan kredibiliti saya untuk dibawa ke peringkat kelab.

"Saya harap dengan apa yang saya belajar di sini, ia dapat membantu Kelantan United untuk pergi lebih jauh," katanya.