ARSENAL 2 SOUTHAMPTON 2

Pierre-Emerick Aubameyang berkata Arsenal perlu menyoal diri sendiri setelah gagal meraih kemeanngan dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris selepas diikat 2-2 oleh Southampton, lewat malam tadi.


Selepas Danny Ings dan James Ward-Prowse meletakkan pelawat di depan, Alexandre Lacazette menyumbat dua gol buat pasukannya ketika berdepan lawan itu yang dibelasah 9-0 oleh Leicester City, hujung bulan lalu.

Jaringan kedua Lacazette -- yang merupakan gol keempat peribadi dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini -- hadir di penghujung babak pertama dan diraikan dengan membuat isyarat supaya senyap di depan penyokong yang tidak berpuas hati di Emirates.

Pemain Arsenal meninggalkan padang dalam keadaan diejek dan apabila Aubameyang ditanya sama ada mereka layak dilayan sebegitu, kapten The Gunners itu memberitahu laman web rasmi kelab: "Saya tidak tahu.

"Apabila beraksi, kami yang terlebih dahulu kecewa apabila ia tidak menjadi. Kami cuba untuk melawan. Saya fikir kami mempunyai kualiti untuk bangkit dan perlu berjuang.

"Saya fikir semua orang perlu bertanya kepada diri sendiri perubahan yang boleh dibuat, apa yang mampu ditawarkan. Semua orang perlu melakukannya, bermula dengan saya. Saya akan bekerja keras dan kembali ke landasan kemenangan."

Aubameyang mengetuai Arsenal buat kali pertama ketika berdepan Southampton tetapi prestasinya dibayangi oleh Lacazette tatkala beberapa pemain The Gunners gagal mencapai aksi terbaik.

Menjelang perlawanan Liga Europa menentang Eintracht Frankfurt selepas ini, Aubameyang menjanjikan perubahan daripada pasukan tatkala mereka memburu kemenangan pertama dalam tujuh percubaan.

Ditanya apa masalah yang berlaku di Arsenal, dia menjawab: "Saya tidak tahu. Apa yang saya boleh kataka adalah sebagai satu pasukan dan seorang pemain, saya akan cuba meneruskan usaha kami.

"Kami harus mencari penyelesaian bersama-sama. Saya fikir kami tetap kuat. Kami adalah lelaki dan perlu teruskan usaha gigih.

"Kami berdepan satu perlawanan pada Khamis ini dan akan cuba mengubah keadaan. Dalam situasi ini, tidak mudah buat semua tetapi kami perlu terus mencuba. Kami dalam satu kumpulan dan boleh mencari penyelesaian secara dalaman. Itu yang akan kami lakukan.

"Hari ini, semua orang kecewa. Ia tidak menjadi. Ia bukan keputusan baik buat saya. Jelas sekali kami beraksi di laman sendiri dan perlu mendapatkan kemenangan. Kami perlu terus berjuang dan menyelesaikannya."