Kegagalan kapten Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang untuk pulang ke England mengikut jadual yang ditentukan mungkin sahaja menjadi titik noktahnya bersama Arsenal.

Menurut laporan laman sesawang fourfourtwo.com, pengurus Arsenal, Mikel Arteta, sudah pun mengenal pasti calon-calon pemain penyerang baru menggantikan tempat pemain antarabangsa Gabon itu.

Minggu lalu, Aubameyang diberikan kebenaran untuk berlepas ke Perancis pada waktu pagi hari Rabu demi menjemput ibunya yang kurang sihat dan membawanya pulang ke England.

Dia diarahkan untuk berlepas kembali ke England pada waktu petang hari yang sama agar dia sempat untuk berlatih bersama pasukan pada hari Khamis.

Malangnya, menurut laporan portal The Athletic, Aubameyang gagal mematuhi arahan itu dan cuma sempat berlepas pulang pada pagi Khamis.

Disebabkan kelewatan itu, Aubameyang tidak dibenarkan untuk berlatih bersama pasukan sehinggalah dia menunjukkan keputusan negatif dalam ujian PCR COVID-19.

Selepas Arsenal mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Southampton pada Sabtu, Arteta dilihat enggan mengulas lanjut mengenai situasi Aubameyang ini dan cuma menjawab soalan-soalan secara ringkas.

"Malangnya, Aubameyang terpaksa digugurkan daripada barisan pemain kerana melanggar peraturan disiplin,ā€¯ujarnya.

Barcelona diramalkan salah satu kelab yang cukup berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang prolifik itu.

Mereka pernah dilaporkan cuba untuk memancing Aubameyang musim lalu tetapi dia akhirnya memutuskan untuk menandatangani sambungan kontrak selama tiga tahun bersama The Gunners.

Pengurus Barcelona, Xavi, menginginkan seorang penyerang yang mampu melebarkan kawasan penguasaan bola dan kebolehan Aubameyang untuk bermain sebagai penyerang tengah dan juga di sayap kiri menepati kemahuannya.

Memandangkan Xavi dan Arteta pernah sama-sama menuntut ilmu di akademi La Masia milik Barcelona, ia seharusnya tidak sukar untuk Xavi memujuk Arteta jika dia benar-benar mahu mendapatkan Aubameyang.

Antara pemain yang dikhabarkan telah dikenal pasti sebagai pengganti Aubameyang adalah Andrea Belotti dari Torino, seorang penyerang yang mampu mengawal bola dengan baik dan menghadirkan ancaman dari segi tandukan, suatu kawasan yang masih belum cukup ampuh untuk Arsenal.

Beberapa pemain penyerang lain turut diura-urakan menjadi sasaran Arsenal, namun masing-masing mempunyai halangan tersendiri untuk diperoleh.

Dominic Calvert-Lewin dari Everton tampak sukar untuk dibeli memandangkan Liga Perdana Inggeris sudah pun hampir sampai ke separuh jalan.

Dusan Vlahovic dari Fiorentina pula memerlukan sejumlah wang yang besar untuk dibeli dan dia juga menjadi sasaran pelbagai kelab besar yang lain.

Arsenal telah pasti bakal kehilangan seorang lagi penyerang, Alexandre Lacazette, yang bakal berhijrah secara percuma pada musim panas tahun depan.

Dengan drama Aubameyang ini, dicampurkan dengan persembahan mereka yang tidak begitu konsisten sepanjang musim, proses pembaikan dan pemulihan pasukan seharusnya diberikan keutamaan jika Arsenal tidak ingin terus tenggelam.