ATLETICO MADRID 3 VALENCIA 2

Ketua jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone, memuji semangat juang pasukannya selepas menjaringkan dua gol dalam waktu kecederaan untuk menewaskan Valencia 3-2 dalam aksi LaLiga di Wanda Metropolitano awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Simeone itu kelihatan akan tewas buat kali ketiga berturut-turut dalam kesemua kejohanan selepas Yunus Musah dan Hugo Duro meletakkan pelawat di depan dengan dua gol menjelang waktu rehat.

Matheus Cunha kemudian mengurangkan defisit itu pada minit ke-64 sebelum gol waktu kecederaan Angel Correa dan Mario Hermoso memastikan kemenangan Atletico.

"Ketika waktu rehat, saya bercakap dengan pemain, saya memberitahu mereka apa perasaan saya dan apa yang telah saya sampaikan sepanjang beberapa tahun ini, 'jika kami perlu kalah, kami akan kalah dengan bermaruah'," kata Simeone kepada wartawan.

"Pasukan ini memberikan sepenuh jiwa, memberikan nyawa mereka di atas padang. Ada sesetengah malam yang akan kekal bersama anda dan malam ini, ia akan kekal bersama kami."

Dia menambah: "Ia separuh masa kedua yang amat luar biasa. Kami menjadi diri kami. melihat aksi kami dalam babak kedua, saya berasa: ini adalah kami."

Ateltico hanya memungut lapan daripada keseluruhan 18 mata terakhir yang ditawarkan dalam LaLiga, di mana kemenangan kali ini mencerahkan peluang mereka untuk memburu penamat empat teratas.

Simeone hampir menitiskan air mata sebaik melihat jaringan kemenangan Hermoso, yang melonjakkan pasukan juara bertahan itu ke tangga keempat liga dan berkelebihan tiga mata di depan pasukan di tangga kelima, Real Sociedad.

"Apa yang saya rasakan? Ia sesuatu yang luar biasa, di tempat saya berada.

"Setiap kali ia berasa seperti saya mungkin akan pergi, saya semakin mahu memeluknya dengan lebih erat. Dalam babak pertama, hati saya terluka," tambahnya.