Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, berharap dapat membuatkan Manchester United 'gayat' apabila pasukannya bertandang ke Old Trafford untuk pertemuan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok.

Perlawanan pertama di Wanda Metropolitano tiga minggu lalu berakhir 1-1 selepas gol penyamaan lewat daripada pemain gantian, Anthony Elanga, membatalkan jaringan tandukan Joao Felix dalam separuh masa pertama.

Atletico tewas kepada wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam dua kunjungan terakhir yang menyaksikan mereka dikecewakan Chelsea pada 2020-21 dan Liverpool musim ini apabila gagal menjaringkan sebarang gol.

Malah, gawang mereka sentiasa ditembusi dalam lapan pertemuan berdepan kelab EPL iaitu melepaskan 14 gol secara keseluruhannya, tetapi Simeone menjangkakan tuan rumah mungkin bergelut.

"Kami akan memberikan tekanan tinggi," katanya kepada pemberita dalam sidang media pra-perlawanan malam tadi.

β€œIa akan menjadi sebuah perlawanan klasik yang anda boleh jangkakan dalam pertembungan seperti ini -– anda boleh menjadi gayat apabila bermain di laman sendiri.

"Saya fikir kami memiliki peluang untuk melancarkan serangan balas dan perlu memanfaatkan sebarang kesilapan yang mereka lakukan. Kami benar-benar bersedia untuk perlawanan ini dan akan melakukan yang terbaik."





Atletico menyingkirkan Liverpool dalam pusingan 16 musim 2019-20 apabila mengungguli pertemuan kedua 3-2 selepas masa tambahan di Anfield, tetapi Simeone menegaskan perlawanan di Old Trafford adalah berbeza dan kejayaan di England sebelum ini tidak akan diambil kira.

β€œIa adalah satu perlawanan yang berbeza, kami sedar kepentingan perlawanan yang akan kami hadapi esok dan bahaya yang mereka mampu jelmakan tetapi kami tetap yakin,” tambahnya.