• Semua perlawanan dalam definisi tinggi (HD) meliputi Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia boleh di tonton di Astro TV, On Demand dan Astro GO.

Astro dan Malaysian Football League (MFL) hari ini secara rasminya mengumumkan kolaborasi selama tiga tahun bermula 2023 hingga 2025 sebagai penyiar rasmi untuk semua pertandingan Liga Malaysia meliputi Perlawanan Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah), Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Kerjasama yang terjalin itu akan bermula dengan aksi pembuka tirai, Perlawanan Sumbangsih, pada 24 Februari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith, berkata: “Kami teruja dipilih sebagai penyiar rasmi Liga Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai ‘hub sukan’ untuk peminat sukan negara.

“Kami sentiasa mengiktiraf kepentingan sukan dalam pembangunan negara dan dengan itu, Astro dan MFL komited meningkatkan taraf liputan liga bola sepak tempatan melalui siaran langsung, perkembangan di sebalik tabir, sesi latihan pemain dan jurulatih serta membawakan berita terkini untuk sajian khas buat semua peminat negara.

“Nantikan perkembangan mengenai liputan kami mengenai siaran langsung perlawanan, on-demand serta kandungan program-program yang lain,” katanya.

Tambah Euan, kehadiran Liga Malaysia akan merancakkan lagi tawaran sukan tempatan di Astro selain menjadi destinasi sukan antarabangsa, termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Liga Europa (UEL), La Liga, Jelajah Dunia BWF, MotoGP, NBA, UFC, WWE, PGA dan Jelajah ATP.

Astro sentiasa berusaha untuk terus memperkasakan sukan tempatan dan atlet negara melalui saluran Astro Arena HD, yang telah dilancarkan pada 2010 lalu.

Selain mengikut rapat perkembangan jaguh negara di pentas antarabangsa, Astro Arena HD juga menyediakan platform untuk bekas-bekas atlet membina karier dalam industri sukan.

Astro Arena HD menjadi destinasi untuk peminat tempatan mendapatkan berita sukan terkini sementara Astro Arena2 HD pula menyediakan kandungan sukan antarabangsa dengan sajian dan persembahan yang lebih tempatan kepada peminat di Malaysia.

Melalui kerjasama dengan persatuan-persatuan sukan negara, Astro berjaya mengembalikan kemasyhuran sukan tempatan melalui harta intelek dengan menyediakan platform untuk atlet tempatan bersaing dalam liga kompetitif seperti Liga Sepaktakraw (STL), Netball Super League (NSL) dan Sooka Super Series: Volleyball (SSSVB) yang berjaya mengubah landskap sukan tempatan.

Nicholas John, Ketua Bahagian Sukan Astro, berkata: “Kami akan memberikan konotasi yang lebih bermakna dalam liputan bola sepak Malaysia dengan memberikan liputan komprehensif dalam HD dan turut boleh distrim melalui Astro GO.

“Selain itu, Astro akan membawakan variasi persembahan dan penyampaian ulasan serta analisis di studio bersama barisan pakar yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam dunia bola sepak.

"Kandungan eksklusif lain, termasuk sorotan perlawanan, sidang media praperlawanan, sesi latihan pemain, akses temu bual pemain serta aktiviti menarik turut akan diadakan bagi memberi peluang dan pengalaman kepada peminat merasai kehangatan Liga Malaysia nanti. Pelanggan Astro juga dapat menikmati ganjaran istimewa lain seperti sesi beramah mesra bersama pemain kegemaran mereka dan jemputan menonton perlawanan pilihan di stadium," katanya.

Datuk Ab Ghani Hassan, Presiden MFL, pula berkata: "kehadiran semula Astro bersama MFL merupakan petanda Liga Malaysia semakin mendapat tarikan, secara tidak langsung akan meningkatkan profil liga dan juga kelab-kelab yang bertanding.

“MFL mengambil langkah cukup besar apabila menjalin kerjasama dengan Astro, iaitu stesen penyiar yang cukup terkenal dan disegani dalam mempromosikan sukan, khususnya bola sepak tanah air.

“Saya bagi pihak MFL amat berterima kasih kepada Astro kerana sudi melangkah bersama MFL kerana kami percaya dengan persaingan 14 pasukan elit dalam Liga Super serta kewujudan Piala MFL (Liga Simpanan) bagi pemain bawah 23 tahun menerusi penstrukturan semula Liga Malaysia, ia pasti akan menyuntik elemen baharu untuk disaksikan buat peminat tempatan,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, keputusan badan pengelola liga profesional negara itu memilih Astro semula adalah kerana mereka percaya stesen televisyen terkemuka tempatan itu merupakan rakan ideal untuk berkerjasama dalam membangunkan Liga Malaysia.

“MFL telah mengambil satu langkah besar tahun lalu dengan mengumumkan penstrukturan semula Liga Malaysia dan kami percaya Astro adalah rakan ideal untuk menyiarkan lebih banyak perlawanan dan kualiti tontonan yang dimahukan oleh penyokong selama ini.”

“Penglibatan Astro kali ini pasti akan meningkatkan tarikan dan kesedaran mengenai perkembangan Liga Malaysia, sekali gus dapat meningkatkan nilai komersial setiap perlawanan bagi mengukuhkan ekosistem bola sepak negara agar dapat dinikmati ramai pihak," katanya

Untuk maklumat lanjut tentang produk dan perkhidmatan Astro, layari www.astro.com.my