Aston Villa telah menandatangani Ashley Young dengan perpindahan percuma berikutan penghijrahan pemain sayap itu meninggalkan Inter.

Young bersetuju dengan kontrak setahun di Villa Park, sedekad selepas berhijrah untuk menyertai Manchester United.

Bekas pemain kebangsaan England itu menikmati empat musim setengah bersama Villa dan melakukan 190 penampilan dalam semua pertandingan.

Villa mengesahkan ketibaan Young menerusi laman web rasmi semalam dan pemain itu berkata, "Sungguh gembira kerana dapat kembali, saya berasakan seperti tidak pernah meninggalkan kelab ini.

"Saya cukup gembira kerana dapat kembali, melihat wajah-wajah lama, kembali ke padang latihan, melihat kelengkapan pasukan dan bagaimana kelab ini sudah berkembang.

"Anda dapat melihat sejauh mana kelab telah berkembang sejak zaman saya dan saya hanya bersedia untuk membua persiapan."



Young beraksi 34 kali bersama pemenang Scudetto, Inter bagi musim 2020-21, termasuk 26 penampilan dalam saingan Serie A.

Dia meledak satu gol -- terhasil ketika menang 5-1 ke atas Udinese -- dan melakukan empat assist musim lalu.

Sebelum menyertai Inter, Young telah memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala EFL dan Liga Europa bersama United.

Pemain berusia 35 tahun itu merupakan yang kedua dibawa masuk Villa selepas mendapatkan khidmat Emiliano Buendia minggu lalu, sementara dilaporkan dalam usaha melakukan bidaan untuk khidmat Emile Smith Rowe namun ditolak Arsenal.