Mikel Arteta tidak pernah meragui bahawa dia berkemampuan untuk memimpin Arsenal selepas era Arsene Wenger walaupun mengambil sedikit masa untuk meyakinkannya.

Pengurus Arsenal itu, bagaimanapun, perlu membuat pertimbangan terlebih dahulu bagi mengambil alih pasukan yang dibina oleh Wenger mengikut acuan pengendali dari Perancis itu.

Arteta akhirnya berani menanggung kegagalan apabila memegang jawatan The Gunners pada Disember 2019, genap 18 bulan selepas dia hampir menjadi pengganti segera kepada Wenger.



Ketibaan Unai Emery menjadi noktah berakhirnya tempoh 22 tahun Wenger memegang skuad itu sebelum Arteta mula beransur-ansur membentuk semula gergasi utara London berkenaan ke tahap untuk kembali ke Liga Juara-Juara (UCL).

Menjelang pertembungan dengan Manchester United di London malam ini, anak buahnya yang di kedudukan kelima berpeluang memintas Tottenham selepas menyamai pungutan mata pencabar sekota itu.

Justeru, bekas pemain tengah itu percaya perancangan jangka panjang untuk menghidupkan semula kegemilangan mereka mula menunjukkan kemajuan.

Ditanya adakah prospek untuk membentuk sebuah kelab yang digeruni pernah terlintas di fikirannya, Arteta berkata: "Memang begitu, tetapi ia hanya sebahagian kecil jika dibandingkan dengan keseronokan dan peluang yang saya lihat untuk menyertai kelab ini.

"Saya cuba lakukan apa yang kami idamkan iaitu untuk membawa kelab ini ke peringkat tertinggi yang pernah dikecapi Arsene.

"Keinginan itu jauh lebih besar daripada kebimbangan untuk gagal."