Setelah mengalami pelbagai cemuhan dan herdikkan daripada peminat-peminat Arsenal, akhirnya Mikel Arteta boleh menarik nafas lega atas prestasi anak didiknya dalam saingan Liga Perdana Inggeris ketika ini.

Menduduki tangga keempat carta liga masa ini telah mula merubah persepsi terhadap kredibeliti Arteta sebagai pengurus dan apa yang menariknya, pemain-pemain The Gunners mula memahami falsafah bola sepak yang diterapkan Arteta.

Lihat sahaja corak permainan yang dipamerkan anak didiknya ketika berhadapan dengan Leeds United di Elland Road, di mana mereka berjaya memberi saingan dalam menguasai permainan.

Bukan itu sahaja, mereka juga bijak dalam mencuri setiap peluang yang dimiliki.

Ia diterjemahkan dalam jumlah jaringan yang diperolehi ketika menewaskan Leeds (4-1) dan jaringan-jaringan itu berlaku berpunca daripada tekanan awal yang dilakukan, bermula di bahagian penyerang dan apabila memenangi bola sahaja pemain-pemain Arsenal akan melakukan transisi pantas untuk memerangkap lawan untuk melakukan jaringan.




Ia boleh dilihat melalui setiap jaringan yang dilakukan The Gunners apabila memenangi bola teeutama di bahagian tengah mereka akan terus melakukan serangan pantas dengan mengunakan kelebihan yang ada pada pemain-pemain penyerang mereka seperti Gabriel Martinelli, Bukayo Saka dan Alexendre Lacazette.

Selain itu, mereka juga bergerak secara berpasukan dan sentiasa berada pada zon mereka baik ketika menyerang atau bertahan.

Ini akan memudahkan mereka mengamalkan falsafah bola sepak yang diterapkan Arteta dengan permainan yang pantas (high intensity) dengan hantaran-hantaran pendek serta transisi pantas.

Inilah hasilnya apabila pihak pengurusan The Gunners begitu sabar dan percaya pada kemampuan Arteta.

Dengan kesabaran itu juga, Arsenal sudah mula menunjukkan kebangkitan ketika ini dan apa yang diperlukan oleh pemain-pemain ketika ini hanyalah sokongan moral daripada peminat-peminat mereka untuk mereka terus kekal pada prestasi terbaik.

Ia penting kerana dengan sokongan moral itu ia akan menaikkan semangat pemain-pemain untuk terus memburu slot ke Liga Juara-juara Eropah (UCL) musim hadapan yang masih lagi terbuka.