Arsenal telah didakwa oleh Persatuan Bola Sepak (FA) buat kali kedua dalam tempoh seminggu berikutan kemenangan pusingan ketiga Piala FA mereka di Oxford United.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu menewaskan kelab divisyen ketiga Oxford 3-0 di Stadium Kassam Isnin lalu menerusi jaringan Mohamed Elneny dan dua gol Eddie Nketiah.

Arsenal sebahagian besarnya kecewa pada separuh masa pertama yang berakhir tanpa jaringan, dan tidak gembira sepakan penalti tidak diberikan pada minit ke-34 apabila sepakan Nketiah terkena lengan Elliott Moore.

Pengadil, David Coote menolak rayuan pemain pelawat dan insiden itu tidak dikaji semula kerana VAR tidak digunakan.

FA mengumumkan semalam bahawa Arsenal telah didakwa akibat kelakuan pemain mereka.

"Arsenal telah didakwa melanggar Peraturan FA E20.1 semasa perlawanan menentang Oxford United dalam Piala FA pada Isnin 9 Januari 2023," satu kenyataan berbunyi.

"Arsenal didakwa gagal memastikan kelakuan pemainnya terkawal pada minit ke-34, dan kelab itu mempunyai masa sehingga Isnin 16 Januari 2023 untuk bertindak balas."


Arsenal dikenakan tindakan berasingan FA pada 6 Januari kerana gagal mengawal pemain mereka selepas rayuan penalti lewat dalam keputusan seri tanpa jaringan dengan Newcastle United.

Beberapa pemain mengepung pengadil, Andy Madley, apabila dia gagal memberikan sepakan penalti kerana bola terkena tangan Jacob Murphy pada masa kecederaan dalam aksi liga.

Mikel Arteta juga mendapat kritikan atas kelakuannya semasa perlawanan itu.