BARCELONA 3 CELTA 1

Pengurus Barcelona, Xavi Hernandez, mengesahkan Ronald Araujo sudah pun tersedar dan keluar daripada bahaya tetapi akan bermalam di hospital selepas perlu menaiki ambulan ketika menentang Celta Vigo.


Araujo bertembung dengan rakan sepasukan, Gavi, di kawasan sendiri ketika perebutan bola di udara sebaik melewati sejam permainan LaLiga itu di Camp Nou, awal pagi tadi.

Gavi terjatuh sementara Araujo yang pada mulanya cuba mengejar bola kemudian didapati rebah, dan pemain berusia 23 tahun itu dirawat sekitar 10 minit sebelum dibawa ke hospital berdekatan.

Insiden itu membayangi kemenangan 3-1 Barca tetapi Xavi memberikan kemas kini positif mengenai keadaan anak buahnya tersebut sejurus tamat perlawanan.

"Kami cemas pada mulanya," katanya kepada Movistar+.

"Doktor memaklumkan bahawa dia telah sedar dan terlepas daripada sebarang ancaman. Tetapi dia akan menghabiskan sepanjang malam ini di hospital.

"Harap-harap esok dia dapat balik ke rumah."


Dua gol daripada Pierre-Emerick Aubameyang selepas Memphis Depay terlebih dahulu membuka jaringan memberikan Barca pendahuluan 3-0.

Celta cuba bangkit bagi mengulangi keputusan seri 3-3 dalam pusingan pertama liga November lalu apabila mengurangkan defisit gol melalui Iago Aspas.

Bagaimanapun, kad merah terhadap bekas pemain pinjaman Barca, Jeison Murillo, akhirnya menamatkan sisa harapan pelawat untuk meraih setidak-tidaknya satu mata.