Cristiano Ronaldo berharap untuk beraksi selama empat atau lima tahun lagi walaupun bakal mencecah usia 37 tahun pada bulan depan.

Penyerang Manchester United itu menerima Anugerah Khas Terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) -- sebagai pengiktirafan kepadanya yang memecahkan rekod dunia untuk gol antarabangsa pada September tahun lalu yang sebelum ini dipegang oleh pemain Iran, Ali Daei, (109) dengan Ronaldo kini menjaringkan 115 gol untuk Portugal -- dalam satu majlis di Zurich, awal pagi tadi.



Ketika ditanya oleh hos majlis itu, Jermaine Jenas, mengenai ketaasubannya dengan sukan ini dan ke mana ia boleh membawanya, Ronaldo menjelaskan bahawa dia masih mempunyai minat yang sama untuk beraksi seperti ketika dia masih muda sambil dan memberitahu tentang hasrat untuk terus beraksi.

"Saya masih mempunyai semangat untuk permainan ini. Bukan hanya untuk menjaringkan gol," kata Ronaldo.

“Ia untuk menghiburkan diri sendiri kerana saya telah bermain bola sepak sejak berusia lima, enam tahun.

"Apabila saya turun ke padang sekalipun dalam latihan, saya masih menikmatinya dan motivasi saya masih ada.
Walaupun saya akan berusia 37 tahun tidak lama lagi, saya masih berasa baik, saya berasa bermotivasi.

"Saya masih bekerja keras sejak berusia 18 tahun dan saya akan teruskannya. Saya sayangkan sukan ini, saya masih mempunyai semangat itu dan saya mahu meneruskannya.

“Kadang-kadang orang bertanya kepada saya berapa tahun lagi saya akan beraksi dan saya katakan bahawa saya berharap selama empat atau lima tahun lagi.

"Ini semua tentang mentaliti kerana saya fikir secara fizikal, jika anda melayan tubuh anda dengan baik dan apabila anda memerlukan badan anda, ia akan membawa pulangan kepada anda, jadi inilah yang saya lakukan."