Carlo Ancelotti menegaskan pemain Real Madrid tidak bermain bukan kerana bimbangkan kecederaan sebelum Piala Dunia, kerana Luka Modric dan Karim Benzema diketepikan daripada lawatan Liga Juara-Juara bertemu RB Leipzig.

Setelah mendahului empat mata ke atas Leipzig di puncak Kumpulan F, Madrid boleh memastikan tempat teratas dengan baki perlawanan dengan mengelak kekalahan menentang pasukan Bundesliga itu awal pagi esok.

Bagaimanapun, usaha Madrid untuk berbuat demikian mungkin terhalang oleh ketiadaan Modric dan Benzema, manakala pemain tengah, Federico Valverde telah menyertai kedua-dua pemain itu selepas mengalami kecederaan ketika menang ke atas Sevilla, Sabtu lalu.

Ketiga-tiga pemain bersedia untuk beraksi apabila Piala Dunia bermula dalam masa kurang daripada sebulan, tetapi Ancelotti tidak berasakan kejohanan itu memberi kesan kepada pemikiran pemain.

"Saya tidak fikir mereka memikirkannya. Adalah lebih baik untuk memasuki Piala Dunia dengan baik, dengan kesinambungan," kata Ancelotti.

"Ia adalah perkara kecil, dan kami tidak mahu mempertaruhkan mereka pada saat yang penting. Adalah lebih baik tanpa Modric dan Karim untuk satu hari daripada sebulan.

"Kecederaan wujud dalam bola sepak. Jika anda tidak mahu cedera, duduk sahaja di sofa. Saya memberitahu pemain saya perkara itu.

"Tiada apa yang boleh dilakukan. Saya tidak fikir pemain bimbang tentang perkara ini. Jika ada yang takut berlatih, saya beritahu mereka untuk duduk di rumah; terdapat banyak siri dan filem yang bagus."