REAL MADRID 6 REAL MALLORCA 1

Ketua jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti, memuji prestasi yang dipamerkan Marco Asensio selepas pemain tengah itu menjaringkan hatrik ketika menewaskan Real Mallorca 6-1 dalam perlawanan LaLiga di Santiago Bernabeu awal pagi tadi.

Asensio menjaringkan tiga gol dalam perlawanan pertamanya selaku kesebelasan utama musim ini untuk menewaskan bekas kelabnya, Mallorca, sekali gus kembali meletakkan Madrid di tangga teratas liga.

Selepas Karim Benzema membuka jaringan seawal minit ketiga, Asensio mula mencuri tumpuan di mana pemain Sepanyol itu menjaringkan dua gol yang mengapit jaringan Lee Kang-in buat Mallorca untuk Madrid mendahului 3-1 sebelum waktu rehat.

Asensio melengkapkan hatriknya selepas 10 minit babak kedua dimulakan untuk menjadi pemain Sepanyol keenam merekodkan hatrik buat Madrid dalam LaLiga sepanjang abad ini dan menjadi pemain pertama melakukannya sejak Alvaro Morata menjaringkan tiga gol pada April 2017.

Benzema kemudian menjaringkan gol kedua peribadinya sebelum Isco menutup hari penuh gemilang buat Madrid dengan jaringan terakhir tetapi Ancelotti memberikan pujian khusus buat Asensio dalam sidang media selepas perlawanan itu.

"Saya melaburkan semua pengalaman saya ke dalam pasukan ini dan bersedia memberikan mereka segala-galanya daripada aspek pengalaman dan keyakinan," kata Ancelotti kepada wartawan selepas Madrid mengumpulkan 16 mata daripada enam perlawanan liga pertama musim ini -- rekod permulaan terbaik mereka sejak musim 2013-2014, juga dibawah kendaliannya.

"Saya amat bertuah dapat melatih pasukan yang berani ini dengan ramai pemain berkualiti dan cepat belajar. Asensio bermain dengan amat baik. Kami sedar dia mampu melakukan banyak kemusnahan (buat pasukan lawan) dan mereka mempunyai kualiti di antara setiap bahagian. Dia seorang yang amat bagus ketika mengambil peluang dan menyesuaikannya dengan amat baik.

"Asensio telah menunjukkan prestasi yang amat baik dan harap-harap dia sekali lagi dapat menjaringkan tiga gol minggu depan. Saya fikir itulah posisinya.

"Adakalanya, jika kami boleh memberikan tekanan di bahagian pertahanan sayap dan bertahan, dia boleh bermain lebih banyak di bahagian luar tetapi ketika memegang bola, dia sentiasa berada di posisi yang sama kerana dia menggemarinya. Apabila dia masuk ke bahagian dalam dan mendapatkan bola ketika di bahagian kiri, dia kelihatan amat berbahaya," katanya.