REAL MADRID 0 ATLETICO MADRID 1

Carlo Ancelotti berhasrat untuk terus menggilirkan barisan pemain Real Madrid bagi melewati baki kempen LaLiga mereka memandangkan segala fokus mereka mula terarah kepada perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang Liverpool.


Madrid tumbang 0-1 kepada musuh setempat, Atletico Madrid, dalam pertembungan 'El Derbi' awal pagi setelah melakukan tujuh pertukaran daripada kemenangan dramatik Eropah ke atas Manchester City, pertengahan minggu lalu.

Yannick Carrasco meledak gol tunggal perlawanan selepas menyempurnakan sepakan penalti ketika menutup babak pertama perlawanan itu.

Ketika pemain seperti Luka Modric dan Vinicius Junior diturunkan dalam separuh masa kedua, Karim Benzema dan Thibaut Courtois pula langsung kekal di bangku simpanan dalam pertembungan di Wanda Metropolitano itu,

Los Blancos telah mengesahkan kejuaraan liga dan berkesempatan menjadikan tiga baki perlawanan LaLiga akan datang sebagai medan pemanas badan sebelum perhitungan getir dengan Liverpool, 29 Mei depan.





Pasukan bimbingan Ancelotti itu melayani Levante pada Jumaat ini sebelum mengakhiri kempen domestik dengan perlawanan menentang Cadiz dan Real Betis.

Ditanya sama ada dia akan terus membuat perubahan kepada pasukannya, pengurus dari Itali itu memberitahu Movistar: "Ya. Mereka yang kurang bermain hari ini akan dipertaruhkan selepas ini.

"Tetapi pasukan yang menentang Betis pula hampir pasti menjadi barisan yang akan beraksi untuk perlawanan akhir (UCL). Matlamatnya adalah untuk ke final dengan semua orang sudah bersedia.

"Kami masih menjangkakan untuk bersaing, beraksi dengan keamatan tinggi dan rentak yang bagus. Rentak kami dalam babak kedua hari ini bagus."