BAYERN MUNICH 2 BAYER LEVERKUSEN 1

Carlo Ancelotti menjelaskan keputusan lebih penting daripada prestasi setelah menyaksikan Bayern Munich kembali menemui rentak kemenangan selepas menewaskan Bayer Leverkusen 2-1, awal pagi tadi.


Juara Bundesliga itu gagal memenangi tiga perlawanan dalam semua pertandingan, menyaksikan skuad kendalian Ancelotti berada dalam tekanan menjelang pertemuan berdepan Leverkusen.

The Bavarians mengakhiri kemarau itu dengan jaringan Thiago Alcantara dan Mats Hummels untuk menaikkan semula semangat di Allianz Arena.

Ternyata, Bayern mampu mempamerkan aksi yang lebih mantap tetapi ketua jurulatih, Ancelotti, masih berpuas hati selepas memungut tiga mata penuh.

"Akan tiba satu masa apabila kemenangan lebih penting daripada mutu permainan kami," ujar Ancelotti.

"Kemenangan ini akan memberikan momentum untuk terus meraih tiga mata dalam perlawanan akan datang."

Di sebalik kemenangan mereka, Bayern masih berada di tangga kedua di belakang RB Leipzig dan Ancelotti percaya pasukannya akan cuba sedaya-upaya untuk mempertahankan kejuaraan mereka.

"Leipzig memiliki musim yang sangat baik, mereka telah bermain dengan baik tetapi kami perlu berusaha dalam perlawanan akan datang untuk mendapatkan semula takhta liga."

Bayern berpeluang untuk merapatkan kedudukan dalam perlawanan akan datang bertemu Mainz manakala Leipzig berdepan tugas sukar ketika menerima kunjungan Schalke.