REAL MADRID 3 CADIZ 0

Carlo Ancelotti sedar Real Madrid yang baru ditabalkan sebagai juara LaLiga perlu berpada-pada menyambut kejayaan mereka itu kerana perlu bersedia menghadapi Bayern Munich, awal pagi Khamis ini.


Madrid menjuarai LaLiga untuk kali ke-36, awal pagi tadi berikutan Barcelona tumbang 2-4 kepada Girona.

Kekalahan Blaugrana disusuli kemenangan Madrid yang menewaskan Cadiz 3-0 di Santiago Bernabeu.

Brahim Diaz, Jude Bellingham dan Joselu menjaringkan gol untuk Los Blancos, yang jurulatihnya Ancelotti tahu kekangan diperlukan dalam sambutan pasukannya, dengan perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Bayern akan berlangsung pada hari Rabu.




"Ia jelas satu kegembiraan kerana perlawanan paling penting musim ini juga sangat dekat tetapi kami juga harus gembira," kata Ancelotti kepada Movistar Plus+ sebelum perlawanan Barca berlangsung.

"Sukar membuat persediaan untuk perlawanan ini kerana kami memikirkan satu lagi aksi pada Rabu ini. Namun, setakat ini ia menakjubkan, pasukan kami stabil dan hampir tidak melakukan sebarang kesilapan. Kelebihan yang kami miliki adalah wajar.

“Sebahagian besar kejayaan Madrid ini dicapai apabila kami mula bertahan dengan lebih baik dengan komitmen kolektif.

"Usaha yang dilakukan oleh pemain di barisan hadapan adalah hebat tetapi kecederaan pada awal musim ini membantu kami menyedari bahawa ia bukan mengenai individu, sebaliknya, ia memerlukan usaha menyeluruh dan kami melakukan yang terbaik."