Pemain baru Everton, Dele Alli, menzahirkan penghargaan buat bekas kelabnya, Tottenham, selepas melengkapkan perpindahan ke Goodison Park selain turut memberikan ucapan istimewa buat bekas pengurus Spurs, Mauricio Pochettino.

Tempoh tujuh tahun Alli di Tottenham berakhir semalam selepas dia memilih untuk ke Merseyside tanpa sebarang yuran pendahuluan.

Everton, bagaimanapun, perlu membayar £10 juta (RM56.6 juta) selepas pemain itu melakukan 20 penampilan selain bayaran tambahan berdasarkan prestasi permainannya, yang mungkin boleh mencecah £40 juta (RM226.42 juta)

Pemain berusia 25 tahun itu telah merekodkan 67 gol dan 55 bantuan jaringan dalam 269 perlawanan buat Spurs sejak berpindah ke White Hart Lane dari MK Dons pada 2015.

Alli, dalam satu kiriman media sosial awal pagi tadi, mengucapkan terima kasih buat bekas kelabnya itu dan berkata Tottenham akan sentiasa berada dalam hatinya.

"Ia penamat satu bab, bukan sebuah buku. Terima kasih atas segala mesej yang anda berikan. Saya memiliki tempoh tujuh tahun yang luar biasa di Tottenham dan menemui rakan-rakan yang kini ibarat keluarga saya! Saya mendoakan yang terbaik buat saudara-sudara saya bagi saingan musim ini dan ke depan.

"Untuk penyokong, saya mahu mengucapkan terima kasih. Kita melalui momen yang luar biasa bersama yang akan kekal bersama saya sehingga ke akhir hayat dan saya tidak akan lupa betapa luar biasanya sokongan yang telah anda berikan buat saya. Bermain untuk anda adalah impian saya dan anda akan sentiasa berada dalam hati saya.

"Saya mahu memberikan ucapan istimewa buat Mauricio (Pochettino) dan stafnya atas kepercayaan dan tunjuk ajar yang diberikan pada awal karier saya di Spurs, yang memberikan saya keyakinan dan platform untuk menunjukkan kemampuan saya," katanya.