Penyerang Selangor FC, Aliff Izwan Yuslan, selamat menjalani pembedahan metatarsal semalam dan secara tidak langsung menjalani tempoh pemulihan selama enam minggu.

Dia yang mengalami kecederaan itu selepas diturunkan dalam babak kedua Kejohanan Selangor KUSEL Asia Challenge, menentang DPMM, Jumaat lalu.

Sebelum ini dalam perkongsian wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, menerusi aplikasi X, ketua kurulatih The Red Giants, Nidzam Jamil mengesahkan kemungkinan besar terpaksa melupakan khidmat tonggak muda itu buat sementara waktu.




"Saya agak risau dengan kecederaan yang dialaminya itu tapi saya harap pasukan perubatan mampu berikan rawatan awal," kongsi Nidzam.

Aliff Izwan merupakan sebahagian daripada pemain muda Selangor yang beraksi Piala Asia (B-23) di Qatar, dua minggu lalu.