Jordi Alba menunggu sehingga minit ke-94 semalam untuk menjaringkan gol kemenangan ketika mengatasi Real Betis 2-1 sekaligus memastikan Barcelona layak beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Blaugrana memerlukan ketiga-tiga mata menentang Betis di tempat kelima untuk memastikan kedudukan empat teratas dan kelihatan kecewa selepas Marc Bartra membatalkan gol pembukaan Ansu Fati.

Bagaimanapun, Alba melepaskan rembatan menembusi jaring Betis dengan percubaan terakhir perlawanan untuk mencapai sasaran Barca dengan berbaki tiga perlawanan.

Keputusan itu mungkin mengecewakan Betis, yang melepaskan peluang mereka sendiri untuk melengkapkan dua kemenangan berturut-turut dalam saingan LaLiga ke atas Barca, namun tiada pertikaian dengan kualiti gol penentu itu.