Kesabaran akan menjadi kunci utama Al Nassr dalam usaha untuk memikat Cristiano Ronaldo, kata pengarah sukan kelab Arab Saudi itu, Marcelo Salazar.

Ronaldo kini berstatus ejen bebas selepas meninggalkan Manchester United bulan lalu.

Pemain berusia 37 tahun itu melalui kempen Piala Dunia mengecewakan bersama Portugal, di mana dia hanya menjaringkan satu gol dan tepaksa beraksi sebagai pemain gantian dalam pusingan kalah mati.

Al Nassr dilaporkan menjadi pasukan pendahulu dalam perebutan untuk mendapatkan Ronaldo sejak awal bulan ini dan walaupun masih belum ada sebarang kesepakatan, Salazar berkata kelab itu bersedia untuk menunggu lebih lama.

"Saya tidak dibenarkan untuk berkata ya atau tidak," jawabnya ketika ditanya Flashscore sama ada Ronaldo berada dalam perancangan pasukan itu atau tidak.

"Ayuh tunggu dan lihat bagaimana perkara ini akan selesai pada penghujung tahun ini.

"Seperti yang anda dapat lihat, ia rundingan dengan magnitude yang amat besar, bukan hanya untuk kelab ini tetapi buat negara ini dan dunia bola sepak, dan ia perlu dilakukan oleh pihak berkuasa yang lebih tinggi.

"Apa yang saya boleh katakan, Cristiano Ronaldo adalah antara pemain terbaik sepanjang sejarah bola sepak. Dia sentiasa menjadi contoh buat saya sebagai seorang atlet atas keazaman yang ditunjukkannya untuk menang.

"Sebagai rakyat Portugis, Saya sentiasa mengharapkannya tetapi hanya masa dapat menentukannya," katanya.