AL HILAL 2 POHANG 0

Al Hilal menggondol trofi Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat kali keempat apabila jaringan Nasser Al-Dawsari pada minit pertama membawa mereka menuju kemenangan 2-0 ke atas Pohang Steelers.


Dalam pertembungan final di Stadium King Fahd itu, bek kiri tuan rumah tersebut menghasilkan gol pembukaan yang menakjubkan dan penyudah klinikal daripada Moussa Marega selepas rehat memuktamadkan kemenangan mereka.

Kejayaan itu hadir ketika permainan baru berusia 17 saat melalui rembatan kaki kiri Al-Dawsari dari jarak 28 ela selepas merampas bola di bahagian tengah dan terus meluru ke depan sebelum melepaskan tendangan deras ke sudut kiri atas pintu gol kelab dari Korea Selatan berkenaan.

Sin Jin-ho juga hampir merakam jaringan menakjubkan pada minit ke-12 tetapi percubaannya dari penjuru kotak penalti sempat menggegarkan palang sebelum dikuis oleh penjaga gol, Abdullah Al-Mayoof.

Bola muntah itu melantun ke arah Lim Sang-hyub tetapi Al-Mayoof sekali lagi tangkas untuk menghalang percubaan jarak dekat itu.




Sepakan percuma Matheus Pereira pula singgah di palang dalam usaha Al Hilal memburu gol kedua sementara rembatan pemain Pohang, Go Young-joon, pula sipi menuju ke gawang.

Marega kemudian mengukuhkan kedudukan Al Hilal pada minit ke-63 selepas menyambut hantaran lolos Bafetimbi Gomis sebelum melepaskan tendangan rendah ke sudut kiri pintu gol lawan.

Kemenangan itu mengangkat Al Hilal sebagai kelab paling berjaya dalam sejarah kejohanan.