Ketiadaan pemain kelahiran Togo, Francis Kone, yang digantung perlawanan malam esok bukan penghalang untuk Negeri Sembilan menyempurnakan sasaran merangkul Liga Perdana.

Ketua pasukan, Zaquan Adha Abdul Razak, menganggap Hoben Jang Hoben masih ada pengganti yang tidak kurang hebatnya menerusi Alain Akono yang bakal menggalas tanggungjawab menggantikan Kone dalam perlawanan terakhir di Stadium Paroi itu.





Zaquan dijangka kekal mengepalai jentera serangan untuk kembali membentuk gandingan asalnya sejak awal musim ini.

Daripada segi barisan pemain, hanya itu perubahan yang akan berlaku dan bekas penyerang kebangsaan tersebut menegaskan 10 pemain yang bakal ditampilkan adalah kekuatan terbaik yang dimiliki jurulatih, K. Devan, musim ini.

"Sebelum ini saya kerap beraksi di samping Akoni jadi tiada masalah kalau Kone tidak dapat beraksi.

"Apa yang lebih penting semua pemain perlu berikan kombinasi dan aksi yang baik," katanya di Nadi Arena, sebentar tadi.





Mendahului kedudukan Liga Perdana dengan hanya kelebihan satu mata langsung tidak melegakan Zaquan.

Mereka sedar hanya kemenangan yang mampu memastikan bonus bergelar juara liga musim ini selepas sasaran utama skuad Jang untuk layak ke pentas Liga Super musim depan sudah terjamin.

"Negeri Sembilan sudah lama tidak menjulang piala dan kami dahaga kejayaan sementara saya pula kembali menyumbang keringat bersama pasukan.

"Ia bukan satu tugas yang mudah untuk ke Liga Super.

"Misi tahun ini mungkin sudah selesai tetapi ia tidak cukup," katanya lagi.