Bintang muda skuad negara, Akhyar Rashid, bertekad untuk membuktikan kemampuannya beraksi sebagai pemain utama andai diberikan kepercayaan untuk diturunkan dalam kesebelasan permulaan ketika bertemu Timor Leste dalam perlawanan play-off kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 di Bukit Jalil, malam ini.

Sebelum ini, penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dilabel sebagai 'supersub' dalam skuad Harimau Malaya.

Ini selepas pemain berusia 20 tahun itu sering memberikan impak yang berbeza setiap kali dibawa masuk.

Dia turut mencetak nama selaku penjaring yang membantu kemenangan 7-1 skuad negara dalam perlawanan pertama Jumaat lalu.

Hasil kemenangan besar itu, dia kini berpeluang untuk membarisi kesebelasan utama dalam aksi timbal balik malam ini.

"Untuk perlawanan kedua ini, saya amat berharap dapat merebut tempat dalam kesebelasan utama.

"Kami hanya perlu mengikuti corak taktikal jurulatih untuk memudahkan kami dan menyukarkan pihak lawan," katanya.

Ketiadaan penyerang, Syafiq Ahmad, ekoran kecederaan juga membuka peluang untuk bekas pemain Kedah itu beraksi.

Kali terakhir dia berada dalam kesebelasan utama skuad negara ialah ketika perlawanan peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF menentang Vietnam di Hanoi, November lalu.

"Kami perlu lebih fokus dan serasi kerana Timor Leste boleh beraksi dengan agak baik.

"Kami tidak memandang rendah mereka," tambahnya.