Harimau Malaya terus mempamerkan aksi garang susulan berjaya merakamkan kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail, sebentar tadi.

Selepas memperoleh kemenangan ke atas Turkmenistan Khamis lalu, skuad Harimau Malaya memasuki aksi persahabatan antarabangsa Tier-1 yang kedua berdepan pasukan bekas kendalian Kim Pan-gon, Hong Kong.

Pan-gon melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama, Shahrul Saad bergandingan bersama Dion Cools selepas menggantikan Dominic Tan yang beraksi dalam perlawanan terdahulu, sementara ketiadaan Endrick dos Santos yang mengalami kecederaan membenarkan Nor Azam Azih diberikan kepercayaan membarisi jentera tengah bersama Paulo Josue.

Pelawat terlebih dahulu menghadirkan ancaman sejak wisel perlawanan bermula ditiupkan, tandukkan Wu Chun Ming terkena tiang gol Malaysia.

Ketika Hong Kong mempamerkan corak permainan yang lebih selesa, tekanan yang dilakukan jentera serangan negara menyaksikan pelawat melakukan kesilapan, Faisal Halim bijak mengawal bola sebelum melakukan lorongan buat Akhyar Rashid meledak jaringan pada minit ke-18.

Hong Kong berusaha untuk mendapatkan jaringan penyamaan namun Malaysia bijak mengawal situasi sebelum melepaskan serangan balas, Darren Lok daripada sayap kiri melakukan hantaran ke Faisal sebelum menggelecek melepasi benteng pertahanan untuk meledak gol kedua pasukan negara pada minit ke-41.


Malaysia menghadirkan corak permainan yang lebih berkualiti dalam separuh masa kedua, deretan peluang demi peluang dihasilkan bagi mendapatkan jaringan tambahan.

Darren serta Faisal memperoleh peluang namun percubaan mereka tidak membuahkan jaringan.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat permainan, sekaligus mengulangi pencapaian mereka mengatasi lawan sama dalam aksi persahabatan tahun lalu.