Kemenangan kedua berturut-turut Malaysia dalam dua perlawanan persahabatan Tier 1 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri baru-baru ini ketika menentang Turkmenistan dan Hong Kong telah mengubah kedudukan ranking dunia Harimau Malaya ketika.

Sudah pasti dengan kedudukkan itu, ia akan menggembirakan Kim Pan Gon dan pasukan kejurulatihannya serta peminat-peminat bola sepak tanah air atas pencapaian Harimau Malaya itu.

Kemenangan itu pasti juga akan meningkatkan keyakinan pemain-pemain Harimau Malaya untuk mempersiapkan diri mereka bagi menghadapi Piala AFC tidak lama lagi.

Atas kemenangan dua perlawanan itu juga telah menarik perhatian penulis dengan prestasi dua pemain tempatan Harimau Malaya, iaitu Akhyar Rashid dan Faisal Halim.

Kedua-dua mereka telah berjaya membuktikan bahawa dengan kehadiran mereka di dalam skuad negara, ia banyak memberikan manfaat sebenarnya.

Walaupun sebelum ini Akhyar dipertikaikan kehadirannya dalam skuad negara disebabkan kurang minit permainan dalam Liga Super bersama kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), kehadirannya benar-benar telah memberikan impak yang besar di bahagian penyudah Harimau Malaya.

Itu dibuktikan dengan dua jaringan dalam dua perlawanan persahabatan Tier 1 itu dan bagi Faisal Halim pula, dengan jaringan yang dilakukan semalam pasti akan meningkatkan keyakinan dirinya dan terus memburu jaringan, baik bersama skuad negara atau dikelabnya.
Walaupun telah bermain sebanyak lima perlawanan dengan mengumpul 344 minit perlawanan bersama Selangor, Faisal masih lagi tidak menemui sentuhan penyudahnya sebagaimana sepanjang bersama Terengganu dengan mengumpul 15 jaringan dan 22 umpanan.

Dengan faktor itu sudah pasti mereka berdua itu juga merupakan sebahagian pemain-pemain yang penting dalam skuad Negara untuk memghadapi pusingan akhir Piala AFC nanti. Ini akan memberikan kelegaan kepada Kim Pan Gon dan pasukan kejurulatihan kerana Malaysia masih mempunyai ramai pilihan di bahagian penyudah. Bukan itu sahaja dengan pengalaman dan personaliti mereka itu akan dapat menyuntik semangat rakan-rakan sepasukan untuk terus memberikan aksi yang terbaik mereka tidak kira pemain muda atau senior.

Inilah masanya kita sebagai pencinta-pencinta bola sepak negara perlu terus memberi sokongan kepada pemain-pemain kita terutama dalam Liga Super.