Peserta kem Explorer Allianz Asia Singapura (AJFC) komited dalam merebut dua slot ke Jerman dengan kehadiran legenda Croatia, Ivica Olic, sebagai ketua panel pemilihan.

Hari kedua menyaksikan latihan bersama bekas penggempur Bayern Munich, Olic, sambil dibantu oleh Thomas Dollner dalam fasa pemilihan pemain yang akan ke ibu negara Jerman itu.

Olic turut menekankan pemilihan pemain adalah berdasarkan kecekapan serta kepantasan mempelajari segala kemahiran yang ditunjuk ajar.

Dia gembira dengan kehadiran ramai bakat muda dan optimis keputusan yang baik akan terhasil dalam tempoh dua hari lagi.

"Kami mencari pemain yang berkualiti dan berkaliber. Mereka masih mempunyai masa untuk membuktikan bahawa mereka layak dipilih dan dua daripada mereka akan dibawa ke Bayern Munich," katanya.

Sementara itu, pemain zon Pantai Timur, Adam Alif Mustapa, mahu menggandakan usaha dalam misi untuk dipilih menjadi dua peserta terbaik yang akan mewakili negara ke Jerman bulan depan.

Sebelum ini, ketika di Kuala Lumpur, pemain berusia 16 tahun itu menjadi tulang belakang pasukannya menerusi dua jaringan bagi meraih gelaran juara keseluruhan peringkat zon.

"Saya dapat jumpa legenda Bayern dan pengalaman yang mereka turunkan kepada saya semestinya tidak boleh diraih di Malaysia. Saya akan bekerja lebih keras berbanding pemain lain, terutama pergerakan bagi memastikan saya lebih menyerlah," ujar Adam.