Ketua Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak, menganggap kehadiran dua tonggak baru iaitu James Okwuosa dan Rodney Celvin Akwensivie mampu memantapkan barisan pertahanan pasukan kendaliannya itu pada saingan Liga M musim 2024/2025 bermula Mei nanti.

Aidil yang dilantik untuk mengemudi skuad The Cats bermula Ogos lalu menerima tugasan mencabar untuk mengembalikan prestasi pasukan yang dilihat merudum dalam aksi musim lalu selepas hanya berjaya menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ke-13.

Bolos sebanyak 64 jaringan musim lalu, jurulatih tersebut mengakui kehadiran dua tonggak pertahanan dari PDRM dan Kedah Darul Aman itu amat ditagih untuk mengecilkan jurang defisit gol pasukannya.

“Dengan kehadiran James dan Rodney ke dalam skuad pada musim ini, saya yakin ia dapat membantu lebih banyak di barisan pertahanan,” kata Aidil.

Tambahnya lagi, sasaran yang paling realistik pada ketika ini adalah untuk berada dalam lapan terbaik di dalam saingan liga musim 2024/2025 nanti.

“Sasaran saya adalah untuk lebih baik pada musim lalu, kalau kami berada dalam lapan terbaik Liga Super, itu adalah cukup baik bagi kami.” kata Aidil.