"Usah layan Leandro (Dos Santos)!" kata ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, kepada anak buahnya menjelang final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Pemain import Perak itu menjadi perbualan hangat menjelang final berkenaan.

Ia gara-gara gaya permainannya yang mampu mengundang 'malapetaka' kepada pasukan lawan andai gagal mengawal emosi dengan bijak.

Perkara itu tidak dinafikan Aidil Sharin, yang enggan pemainnya dipengaruhi emosi andai menjadi mangsa tindakan provokasi Leandro dalam pertemuan kedua-dua pasukan itu.

"Perak bukan hanya tentang Leandro.

"Ramai pemain lain yang kami perlu pantau kerana Perak bukan tentang seorang pemain sahaja.

"Sudah pasti semua sudah mengetahui tentang Leandro, saya tidak perlu menjelaskannya lagi.

"Apa yang saya boleh katakan, dia seorang pemain berpengalaman yang tahu untuk mengimbangi perlawanan sepanjang 90 minit.

"Apa yang paling penting, kami perlu fokus terhadap 11 pemain yang akan kami hadapi," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, cuba berselindung di sebalik kegembiraan dengan ketiadaan tonggak pertahanan Lang Merah, Renan Alves.

Apapun, perlawanan akhir itu memberi kelebihan buat The Bos Gaurus selepas Kedah terpaksa beraksi tanpa 'orang kuat' di bahagian itu.

Namun, Durakovic mengambil pendekatan selamat apabila enggan menjadikan situasi itu sebagai kelebihan dalam misi menamatkan kemarau kejuaraan 15 tahun Perak dalam kejohanan itu.

"Ia agak menyedihkan.

"Sebagai jurulatih, anda mahukan semua pemain anda bermain dan untuk mendapat kad merah sebelum aksi final sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi pemain.

"Apa yang terjadi telah terjadi dan anda perlu mengawasi pemain lain kerena pemain itu akan melaksanakan tugasnya.

"Jurulatih mereka pasti tahu apa yang perlu dilakukan, jadi bagi saya, ia bukan kelebihan mahupun kekurangan," katanya.