Pengendali Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak, mengakui tugas getir menanti pasukannya menjelang pertemuan berdepan Sabah FC dalam saingan Liga Super esok.

Aidil bagaimanapun tetap menaruh kepercayaan terhadap anak buahnya untuk melakar kejutan ke atas Sang Badak di Stadium Darul Aman.

"Pemain-pemain tidak sabar untuk perlawanan esok. Sabah menghadirkan permainan yang berkualiti, saya tetap meletakkan kepercayaan kepada barisan pemain dan ini adalah peluang beraksi di laman sendiri, kami mampu memperoleh semangat bagi menghadapi perlawanan esok," kata Aidil menerusi Nadi Arena.

Mengenai beberapa tonggak pemain yang tidak dapat beraksi, Aidil berkata, "Perkara sebegini adalah satu cabaran yang perlu dihadapi semua pasukan. Pemain-pemain yang bakal diturunkan akan memberikan yang terbaik untuk Kedah."