Ketua Pegawai Operasi Liga Bolasepak Amatur Malaysia (AFL), Raimi Fakri, mengesahkan bahawa pihaknya sudah menerima permohonan daripada Melaka United dan Sarawak United untuk beraksi dalam Liga M3 musim depan.

Selain itu, Raimi turut mengesahkan badan berkenaan juga menerima pemohonan daripada Persatuan Bolasepak Melaka yang akan diwakili Melaka FC.

AFL, bagaimanapun, perlu meneliti setiap aspek terlebih dahulu, terutama melibatkan struktur kewangan setiap pasukan, sebelum memuktamadkan sebarang keputusan.

Setakat ini, difahamkan sebanyak 14 pasukan sudah mengesahkan penyertaan bagi Liga M3 musim depan,

Terdahulu, Sarawak United dan Melaka United disahkan tidak layak untuk beraksi dalam Liga Super 2023 selepas rayuan permohonan lesen kebangsaan yang dikemukakan mereka ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab (AB) Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Sebenarnya kami menerima tiga permohonan baru, iaitu daripada Sarawak United, Melaka United dan Melaka FC," katanya kepada Nadi Arena.

"Melaka FC merupakan satu pasukan yang ditubuhkan oleh Persatuan Bolasepak Melaka.

"Setakat ini, berkenaan diterima masuk atau tidak, ia masih dalam proses, di mana proses ini berjalan seiring dengan proses pengesahan pasukan-pasukan Liga M3.

"Sebenarnya, proses ini sudah 70 hingga 80 peratus, jadi kami berharap baki 30 peratus akan dapat diselesaikan minggu depan agar kami dapat umumkan pasukan yang akan bersaing dalam Liga M3," katanya.