Sepakan percuma menakjubkan Achraf Hakimi menyelamatkan maruah Maghribi untuk meraih keputusan 2-2 yang membawa mereka mara ke peringkat seterusnya sebagai juara Kumpulan C, Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), awal pagi tadi.

Jurulatih, Vahid Halilhodzic, bertindak merehatkan beberapa pemain utama tetapi keputusan itu memakan diri dalam separuh masa pertama apabila Gabon mendahului pada minit ke-21.

Jim Allevinah menyempurnakan umpanan Munir Mohamedi selepas Nayef Aguerd tergelincir pada saat genting, dan Gabon mungkin memiliki kelebihan yang lebih besar sekiranya bukan kerana ketangkasan penjaga gol Maghribi itu.

Atlas Lions menyangka mereka telah menyamakan kedudukan selepas sejam permainan apabila hantaran jauh penjaga gol Gabon, Jean Noel Amonome, menggegar jaring lawan tetapi malangnya ia tidak diiktiraf selepas Youssef En-Nesyri dianggap telah mengganggu permainan kerana berada di kedudukan ofsaid.

Maghribi kembali mengikat kedudukan 16 minit menuju masa kecederaan apabila pemain gantian, Sofiane Boufal, memenangi sepakan penalti untuk penyerang Angers, Andre Biyogo Poko, menyempurnakan kesempatan dari jarak 12 ela itu.

Gabon -– yang kehilangan Mario Lemina dan Pierre-Emerick Aubameyang -– menyangka mereka hampir memuktamadkan kemenangan sekali gus mengungguli kumpulan apabila Aguerd menyumbat gol ke gawang sendiri pada minit ke-81, tetapi sepakan percuma Hakimi tiga minit kemudian menyelamatkan maruah Maghribi.