MESIR 2 MAGHRIBI 1

Mohamed Salah memberi inspirasi kepada kebangkitan Mesir untuk ke separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dengan kemenangan 2-1 ke atas Maghribi, awal pagi tadi.


Mesir, yang ingin melanjutkan kejuaraan dengan gelaran AFCON kelapan dan yang pertama sejak 2010, ketinggalan pada minit keenam menerusi sepakan penalti Sofiane Boufal.

Ia selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) yang mendapati Ayman Ashraf menjatuhkan Achraf Hakimi di penjuru kiri.

Mesir mendominasi penguasaan dalam separuh masa pertama tetapi terpaksa menunggu hingga lapan minit memasuki babak kedua apabila Salah memanfaatkan bola muntah selepas Yassine Bounou menangkis tandukan Mohamed Abdelmonem.

The Pharaohs memerlukan ketangkasan Mohamed Abou Gabal yang kemudiannya terpaksa digantikan akibat kecederaan bagi untuk memastikan kedudukan terus seimbang ketika permainan berbaki sembilan minit.

Abou Gabal terpaksa mengerahkan segala kudratnya ketika mematahkan tandukan Nayef Aguerd yang singgah di palang.

Kegagalan Maghribi untuk mengambil peluang itu dihukum pada minit ke-10 masa tambahan apabila Salah melepasi kawalan Aguerd di sayap kanan sebelum membuat hantaran silang yang sempurna buat Trezeguet melakukan penyudah mudah.

Mesir kini akan berdepan tuan rumah, Cameroon, dalam separuh akhir, Jumaat depan.