Mesir bakal beraksi tanpa kelibat Mohamed Elneny di peringkat separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) ketika berdepan Burkina Faso sementara penampilan penyerang, Marwan Mohsen, berada dalam keraguan ekoran mengadu masalah lutut untuk perlawanan pagi esok.

Pemain tengah Arsenal, Elneny, menderita kecederaan betis ketika memperkuatkan pasukan negaranya dalam aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Ghana dan tersisih dalam kejayaan ke atas Maghribi di suku akhir -- rentetan kemenangan 1-0 ketiga bagi skuad kendalian Hector Cuper itu.

Sekalipun jumlah jaringan mereka kurang memberangsangkan, reputasi mereka di pentas separuh akhir memberi bayangan bahawa rekod mereka di AFCON perlu diambil kira.

Juara tujuh kali itu menang kesemua lima perlawanan sebaik mereka menjejakkan kaki ke separuh akhir dan seterusnya menjulang kejuaraan.

Pada 2008, Ivory Coast yang diketuai Didier Drogba menjadi mangsa belasahan 4-1 dalam perlawanan akhir di Ghana. Dua tahun kemudian, Mesir mudah meratah seteru Afrika Utara, Algeria, 4-0 di Angola.

Ketua jurulatih berpengalaman luas, Cuper, kebingungan kerana Burkina Faso menikmati cuti lebih sehari selepas merakamkan dua gol lewat dalam kemenangan ke atas Tunisia.

"Ia bukan situasi yang ideal, tapi kami tiada pilihan melainkan perlu menyesuaikan diri," katanya kepada pemberita.

"Pemain-pemain diberi masa untuk pulih, harap-harap mereka bersedia untuk perlawanan nanti."

Jurulatih Burkina Faso yang berasal dari Portugal, Paulo Duarte, bersemangat untuk mengulangi pencapaian lalu yang menyaksikan mereka mara ke perlawanan akhir sebelum tunduk kepada Nigeria 1-0 dalam edisi 2013.

"Ini adalah sebuah pasukan yang saya bentuk sejak tujuh tahun lalu dan saya tahu segala kemampuan mereka," katanya kepada BBC Sport.

"Mereka mampu memperagakan permainan menarik. Mereka mempunyai kualiti dan keyakinan."