CAMEROON 0 MESIR 0
(Mesir ke final selepas menang penentuan sepakan penalti 3-1)

Mohamed Abou Gabal muncul wira yang membawa Mesir ke final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas menewaskan tuan rumah, Cameroon, 3-1 dalam penentuan sepakan penalti di Yaounde awal pagi tadi.

Selepas aksi selama 120 minit berakhir tanpa sebarang jaringan, penjaga gol Mesir, Abou Gabal, bertindak tangkas untuk menafikan sepakan penalti Harold Moukoudi dan James Lea Siliki sebelum sepakan Clinton N'Jie tersasar jauh.

Mesir akan menghadapi Senegal dalam penentuan kejuaraan pada hujung minggu ini walaupun mereka akan turun beraksi tanpa ketua jurulatih, Carlos Queiroz, yang dibuang padang pada penghujung waktu sebenar.

Dalam aksi perlahan yang disulami pelbagai kesilapan itu, peluang terbaik dalam separuh masa pertama hadir menerusi tandukan Michael Ngadeu-Ngadjui yang terkena tiang gol Mesir pada minit ke-18.

Mohamed Salah dihidangkan dengan peluang keemasan untuk menjaringkan gol pembukaan dalam babak kedua menerusi kesilapan hantaran ke belakang Martin Hongla tetapi bintang Liverpool itu gagal menewaskan penjaga gol, Andre Onana.

Samuel Oum Gouet hampir memecahkan kebuntuan buat tuan rumah menerusi percubaan dari jarak 35 ela yang sedikit tersasar sebelum Queiroz dibuang padang kerana mempertikaikan keputusan pengadil menjelang masa tambahan.

Tambahan 30 minit turut tidak dapat memisahkan kedua-dua pasukan tetapi Abou Gabal memainkan watak wira untuk membawa Mesir ke final selepas mereka gagal melakukannya di laman sendiri pada 2019.