Sadio Mane akan berharap untuk sekali lagi membawa Senegal ke final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) apabila akan menghadapi Burkina Faso dalam perlawanan separuh akhir di Yaounde awal pagi esok.

Ini selepas harapan Senegal untuk menjulang trofi AFCON pertama musnah di tangan Algeria pada 2019 dan mereka kini sedang memburu rekod untuk menjadi pasukan pertama layak ke final buat dua edisi berturut-turut selepas Mesir melakukannya pada 2010 -- dan kali ini mereka akan lebih terdesak untuk memenangi gelaran.

Statistik terkini juga memihak mereka, di mana kekalahan kepada Algeria itu merupakan satu-satunya kekalahan mereka sepanjang enam perlawanan terakhir pusingan kalah mati kejohanan berkenaan dan mereka juga hanya dibolosi sebanyak dua gol sepanjang tempoh itu.

Lebih-lebih lagi, mereka tidak pernah kalah sepanjang dua pertemuan terakhir dengan Burkina Faso di peringkat AFCON walaupun kedua-dua kemenangan itu dalam saingan peringkat kumpulan.

Tetapi Burkina Faso bukanlah pasukan asing dalam AFCON, di mana mereka telah merekodkan empat aksi separuh akhir dalam sejarah penyertaan mereka dan ia juga akan menjadi penampilan ketiga daripada lima edisi terakhir mereka di peringkat itu -- walaupun tidak layak ke kejohanan utama edisi 2019.

Seandainya Burkina Fasio mahu melayakkan diri ke final dengan mengejutkan Senegal, mereka terlebih dahulu perlu merantai pergerakan Mane, yang kini telah merekodkan dua gol selain tujuh hantaran penting sepanjang edisi kali ini.