Ivory Coast menyingkirkan juara bertahan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), Algeria, untuk ke pusingan 16 dengan kemenangan 3-1 di Stadium Japoma.

Algeria memerlukan kemenangan untuk kekal dalam kejohanan itu tetapi juara bertahan berkenaan akan pulang awal dengan kekecewaan besar selepas menduduki tangga tercorot Kumpulan E.

Ivory Coast mendominasi sepenuhnya kelemahan Les Fennecs untuk muncul sebagai juara kumpulan sekali gus bakal mengadakan pertemuan dengan Mesir.

Franck Kessie memberi kelebihan pertama Ivory Coast di pertengahan separuh masa pertama.

Selepas itu, Ibrahim Sangare memanfaatkan kelemahan pertahanan lawan untuk menggandakan kelebihan mereka dengan tandukan enam minit sebelum rehat, sementara Pepe tidak melepaskan peluang terhidang untuk menjadikan kedudukan 3-1 pada awal babak kedua.

Algeria berpeluang untuk mengurangkan defisit, malangnya sepakan penalti Riyad Mahrez sekadar menggegarkan tiang kanan selepas Simon Deli mengasari Youcef Belaili.




Sofiane Bendebka akhirnya berhasil merapatkan jurang gol dengan jaringan pertamanya dalam kejohanan ini dengan tandukan, 17 minit sebelum tamat permainan.

Satu lagi gol Ivory Coast di penghujung perlawanan pula dibatalkan selepas Sebastien Haller dikesan ofsaid, tetapi ia kekal menandakan satu kejayaan manis ke atas seteru yang menyingkirkan mereka di peringkat suku akhir edisi 2019 itu.