GUINEA 0 GAMBIA 1

Muka baru Piala Negara-Negara Africa (AFCON), Gambia, terus mencipta sensasi apabila layak ke suku akhir dengan mengejutkan Guinea dengan kemenangan 1-0 di Stade Omnisports de Bafoussam awal pagi tadi.

Gambia mencipta kejutan apabila melepasi peringkat kumpulan, di mana mereka menamatkan saingan itu selaku pasukan kedua di belakang Mali tetapi kelihatan masih belum berpuas hati dengan kejayaan itu apabila menjadikan seteru Afrika Barat, Guinea, sebagai mangsa.

Aksi keras dalam separuh masa pertama berakhir dengan dua peluang terbaik sebelum waktu rehat, di mana percubaan dekat Mohamed Bayo buat Guinea dinafikan penjaga gol, Baboucarr Gaye, manakala usaha yang dilakukan Ebrima Darboe di gawang bertentangan pula tersasar.

Jaringan tunggal yang menjadi pemisah dalam perlawanan itu hadir pada 19 minit terakhir, di mana Musa Barrow memanfaatkan lantunan bola untuk melepaskan rembatan yang memberikan gol kemenangan buat Gambia.

Guinea menyangkakan mereka telah menyamakan kedudukan tidak lama selepas itu tetapi Ibrahima Sory Conte II didapati berada di kedudukan ofsaid.

Dengan kemenangan itu, Gambia menempah tempat bertemu pasukan tuan rumah, Cameroon, bagi penentuan ke separuh akhir.