Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) sedang berusaha mengumpul maklumat mengenai insiden rempuhan sewaktu perlawanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) melibatkan Cameroon dan Comoros awal pagi tadi.

Insiden itu berlaku di Stadium Olembe, Younde dan setakat ini, tiada sebarang perincian menenai jumlah mangsa yang terlibat dan tahap kecederaan mereka daripada CAF.

Setiausaha Agung CAF, Veron Mosengo-Omba, dihantar untuk melawat penyokong yang tercedera dalam insiden itu dan badan induk berkenaan juga sedang mengumpulkan seberapa banyak maklumat yang mungkin.

Associated Press melaporkan terdapat beberapa mangsa terkorban dalam insiden itu.

Satu kenyataan yang dikeluarkan bandan induk bola sepak Afrika itu berkata: "CAF sedar mengenai insiden yang berlaku di Stadium Olembe sewaktu perlawanan Piala Negara-Negara Afrika di antara pasukan tuan rumah, Cameroon, dan Comoros malam tadi.

"CAF sedang menyiasat siituasi itu dan sedang mencuba untuk mendapatkan lebih maklumat mengenai kejadian itu.

"Kami sedang berhubung dengan kerajaan Cameroon dan pihak jawatankuasa penganjur tempatan.

"Malam ini, Presiden CAF, Dr. Patrice Motsepe, telah menghantar setiausaha agung, Veron Mosengo-Omba, untuk melawat mangsa yang tercedera di hospital di Yaounde."

Cameroon mara ke suku akhir selepas menewaskan 10 pemain Comoros 2-1.