Pertahanan negara, Muhd Al Imran Halim, memohon maaf kepada rakan sepasukan dan peminat bola sepak Malaysia kerana berasa bersalah memberikan sepakan penalti kepada pihak lawan ketika skuad kebangsaan diikat seri 2-2 oleh Tajikistan dalam aksi kedua Kejohanan AFC B-19, semalam.

Skuad kendalian Bojan Hodak tampil cemerlang di awal permainan tetapi kesilapan Imran membolehkan lawan meraih sepakan penalti.

Pemain bek itu mengakui gol penyamaan Tajikistan melalui Ehsoni Panshanbe itu telah meruntun moral pasukan selepas mendahului 1-0 pada minit ke-11.

"Pemain lawan lari di depan saya dan gagal disekat, kemudian dia jatuh di atas badan sehingga pengadil memberikan sepakan penalti.

"Ia memberi kesan kepada moral pasukan. Mungkin jika tiada penalti, kami mampu menang. Saya minta maaf dan akan perbaiki kesilapan saya di masa akan datang," katanya.