Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, tidak menyalahkan pemainnya biarpun tewas 1-4 kepada kelab Korea Selatan, Pohang Steelers, dalam perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) malam tadi.

Leandro Velazquez meletakkan JDT di depan seawal minit ke-17 perlawanan Kumpulan G itu tetapi pasukan Harimau Selatan berkenaan kemudian membenarkan lawan memperoleh tiga sepakan penalti sebelum tewas.

Pengadil dari Australia, Shaun Roberts, tidak teragak-agak untuk memberikan Pohang dua sepakan penalti dalam babak pertama, yang disudahkan oleh Borys Tachy dan Kang Sang-woo, masing-masing pada minit ke-27 dan 35.

Pohang menambah satu lagi gol pada minit ke-82 hasil larian bijak Kwon Gi-pyo yang mengatasi perangkap ofsaid JDT sebelum Lam Sang-hyub menyudahkan sepakan penalti ketiga bekas juara ACL itu pada lewat permainan.

Tiga sepakan penalti dalam satu perlawanan sememangnya bukan perkara yang biasa dapat dilihat ditambah pula dengan gol Pohang yang penuh kontroversi tetapi Mora berasakan ada perkara yang tidak berada dalam kawalannya meskipun setiap pemainnya telah beraksi baik dalam kepenatan.

"Ada banyak perkara dalam bola sepak yang kita tidak dapat kawal. Kita tidak dapat kawal cuaca, padang yang teruk, layangan kad seawal minit ketiga kepada pemain pertahanan tengah saya dan seumpamanya," kata Mora seperti yang dipetik daripada laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers.

"Kami mencuba mengawal permainan rentak perlahan Pohang Steelers kerana mereka menggerakkan bola dengan sangat perlahan, menanti saat tiba.

"Kami telah melaksanakan tugas dengan sangat baik tetapi malangnya mereka diberikan dua tendangan penalti. Kami tidak dapat kembali walaupun kebanyakan masa menguasai bola dalam babak kedua.

"Kami mempunyai beberapa peluang dan kami tidak menyudahkannya. Tetapi pada saya, perkara yang paling penting adalah usaha pemain. Saya perlu memantau pemain selepas hari ini kerana sudah (melalui) tiga perlawanan yang memenatkan.

"Sebilangan besar daripada mereka keletihan dan kami akan fokus pada pemulihan," katanya.