JDT 2 ULSAN 1

Johor Darul Ta'zim (JDT) menghasilkan kemaraan dramatik untuk ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat julung kalinya menerusi jaringan sendiri pemain Ulsan Hyundai, Park Yeon-woo, dalam masa kecederaan, sebentar tadi.


Ia secara tidak langsung menyaksikan Harimau Selatan menafikan dua pasukan pilihan, Ulsan dari Korea Selatan dan jaguh Jepun, Kawasaki Frontale, untuk menerajui Kumpulan I sekali gus layak secara automatik sementara tiga pasukan di tangga kedua terbaik perlu menghitung nasib masing-masing.

Dalam pertemuan di Stadium Sultan Ibrahim itu, keceriaan awal tuan rumah menerusi sepakan percuma Leandro Velaquez pada minit ke-5 hanya bertahan seminit apabila dipadamkan Jun Amano.

Malah, perancangan JDT di bahagian tengah terjejas apabila terpaksa menggantikan Natxo Insa dengan pemain muda berusia 22 tahun, Hong Wan.

Debaran sebenar perlawanan ialah menuju 10 minit terakhir apabia kedua-dua pasukan memiliki kesempatan terbaik untuk menggandakan jaringan.




JDT menyangka mereka berjaya menembusi gawang lawan buat sekian kalinya menerusi Fernando Forestieri, malangnya kedudukan penyerang Argentina itu didapati ofsaid sambil Afiq Fazail sendiri berpeluang untuk menyudahkannya.

Namun, kegoyahan Ulsan lebih terpancar berikutan kegagalan penjaga gol kebangsaan Korea, Jo Hyeon-woo, gagal menumbuk keluar bola dengan kemas dan disusuli terpaan Afif Aiman sebelum menolak bola ke depan pintu gol yang tertampan oleh Yeon-woo.

Dalam masa sama, Kawasaki melakar kemenangan 1-0 ke atas Guangzhou Evergrande untuk meraih tempat kedua.