Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, berbangga dengan barisan pemainnya yang berani untuk mengekalkan cara permainan ala JDT ketika berdepan Kawasaki Frontale dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) semalam.

Dalam aksi ketiga Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu, JDT mengikat kelab nombor satu Asia berkenaan 0-0 dan tiada masalah untuk bermain secara menyerang dan bertahan dengan baik sehingga kelihatan setara biarpun dibezakan 215 anak tangga dalam kedudukan ranking kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Ia menunjukkan bahawa pasukan Harimau Selatan itu sudah bersedia untuk bersaing dengan pasukan gergasi Asia selepas turut menewaskan pendahulu Liga Korea Selatan (K-League), Ulsan Hyundai, pada Isnin lalu.

"Sudah pasti ia disebabkan usaha dan keinginan mereka untuk bersaiang dan bermain dengan cara kami dan tidak mengkhianati apa yang sedang kami lakukan," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Kami sedar ia akan menjadi perlawanan yang amat sukar kerana kami mempunyai beberapa pemain yang kepenatan tetapi kami memerlukan strategi dan perancangan permainan yang berbeza tanpa mengubah cara kami.

"Jadi, kami beraksi dengan lebih kompak dan lebih rapat sesama sendiri, kami cuba bermain dengan mudah dan bersama memberikan tekanan selepas kami kehilangan bola.

"Kami tidak mengubah DNA kami, kami tidak mengubah cara kami dan tidak mengubah falsafah kami.

"Ia bukanlah falsafah saya, ia falsafah pasukan JDT. Ia disebabkan pemain kami yang mempraktikannya di tahap tertinggi.


"Saya berada di sini hanya untuk membantu mereka, saya bekerja untuk mereka, jadi mereka hanya memberitahu saya apa yang saya boleh bantu mereka dan saya akan mengekalkannya dalam perlawanan seterusnya," katanya.

Dengan keputusan terbaru itu, JDT kekal menerajui Kumpulan I dengan tujuh mata, dua mata mengatasi Kawasaki dan tiga mata di depan Ulsan.