JDT 0 KAWASAKI 5

Kedudukan puncak Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) bertukar tangan selepas Kawasaki Frontale bergaya mengatasi Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk menguasai puncak dengan jurang satu mata.


Juara Jepun itu bergaya mengatasi Harimau Selatan 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Kawasaki menyerap asakan tuan rumah sepanjang 10 minit awal permainan sebelum lencongan sempurna sepakan percuma daripada Yasuto Wakizaka untuk gol pendahuluan pada minit ke-14.

Ketiadaan pemain tengah berpengaruh, Natxo Insa -- dan Bergson da Silva -- apabila posisinya digalas Hong Wan sambil ditemani Maranon Morejon dan Afiq Fazail menyaksikan JDT terperangkap dengan dua jaringan daripada serangan balas di bahagian sayap yang disudahkan oleh Yu Kobayashi untuk Kawasaki menutup separuh masa pertama 3-0.

Benjamin Mora pantas membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Nazmi Faiz Mansor dan gerakan kreatifnya membuatkan jentera serangan JDT kembali bernyawa selepas buntu dalam babak awal.




Sebaliknya, skrip serupa berlaku dan kali ini JDT dihukum oleh Marcinho dan Chanathip Songkrasin dalam situasi kelam-kabut di depan pintu gol yang kembali dikawal Faizal Marlias -- sebelum ini mengalami kecederaan kepala dalam aksi Liga Super.

Justeru, perhitungan di antara Kawasaki dan pasukan di tangga ketiga, Ulsan Hyundai, Rabu ini mampu menentukan status juara Kumpulan I, manakala JDT berdepan Guangzhou Evergrande.

Pada sebelah petang tadi, Ulsan mengalahkan Guangzhou 5-0.