GUANGZHOU FC 0 JOHOR DARUL TA'ZIM 2

Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali menerajui tangga teratas Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas menewaskan Guangzhou FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.


Kekalahan 2-3 Kawasaki Frontale di tangan Ulsan Hyundai dalam satu lagi perlawanan menjadikan saingan kumpulan itu kembali terbuka.

Dua gol sepakan penalti Bergson da Silva dalam babak berbeza memastikan tiga mata penting buat JDT, sekali gus menjadikan perlawanan terakhir menentang Ulsan pada Sabtu ini sebagai penentu ke pusingan kalah mati.

Bergson dikasari pemain lawan untuk pengadil, Payam Heidar, memberikan sepakan penalti yang disempurnakan sendiri pemain kelahiran Brazil itu pada minit ke-16.

JDT menguasai hampir keseluruhan permainan dan merangkai siri percubaan ke gawang Guangzhou tetapi corak bertahan yang diterapkan kelab China itu menutup peluang mereka untuk menambahkan jaringan.

Penantian itu akhirnya ditamatkan dalam waktu kecederaan selepas Ramadhan Saifullah Usman dikasari dalam kawasan penalti dan Bergson sekali lagi memanfaatkan peluang itu untuk menjaringkan gol kedua peribadi.

Dengan kemenangan itu, JDT kembali ke tangga teratas Kumpulan I dengan 10 mata dan hanya dibezakan rekod pertemuan dengan Ulsan sambil Kawasaki juga masih berpeluang ke pusingan kedua dengan lapan mata.

Perlawanan di antara JDT dan Ulsan di venue sama pada Sabtu ini akan menentukan pasukan mana yang akan dinobatkan sebagai juara kumpulan, sekali gus mara secara automatik ke pusingan kalah mati.


Kredit foto: AFC Champions League